Entry: Hati Kanggaru di Kota Melbourne Friday, June 01, 2007



   Lamington, kek span yang dilitupi coklat dan kelapa parut itu digigit Fudail dengan lahap. Anak matanya dibiarkan merata, menyusuri keunikan kota kedua terpadat di bumi kanggaru itu. Semua orang kelihatan sibuk. Berkejaran, bagaikan dirasuk roh duniawi untuk menimbunkan harta sebanyak mungkin.


   Sesekali, berpapasan beberapa lelaki warga Victoria berkot dan bertali leher. Fudail mendongak, mencipta harap. Dari pagi, tiada dolar pun yang mengisi kocek. Kering. Gersang. Segersang pokok boabab pabila musim kering datang menjengah muka di bumi Melbourne. Pada ketika itu, ada rintih halus mampir dan juga pergi. Ada gegumpal hiba semacam mendominasi dada.

   Dulu, tatkala dia punyai wang hasil tajaan JPA, saban hari ruang hidupnya enak menjarah dan menikmati ria. Kehidupannya tidaklah sesusah mana. Dengan berbekalkan 60 dollar setiap hari, dia menyewa basikal ke kuliah. Fulus bukanlah menjadi persoalan ketika itu. Bersama biasiswa perubatan ditambah pula dengan simpanan hasil kerja kerasnya di ladang ceri, duitnya tidak pernah putus. Persis deruan salji cair yang mengalir pada musim bunga ke Sungai Murray. Terus, terus dan tidak pernah berhenti.

   Fudail memejam, cuba menghening cipta. Wajah Josh membuai. Ya, dia masih ingat lelaki itu. Argh! Persetankan lelaki itu! Kerana lelaki itulah, kenangan yang tercipta di bumi yang telah dipisahkan dari Pangaea dan Gondwanaland itu menjadi hitam, pekat, gelap. Babak demi babak kenangan lama menerpa  dimensi fikiran. Josh! Lelaki Jerman yang tinggal di Lembah Barossa, arah timur laut kota Adelaide. Lelaki yang sentosa memadu kasih bersama teman wanitanya di Sungai Yarra. Lelaki yang bakal mewarisi beratus-ratus hektar ladang anggur milik keluarga.


   Anganan Fudail mati. Gelak tawa riang beberapa orang pelajar universiti menghenyak lamunan. Fudail tersenyum, menampakkan barisan gigi kekal yang sedikit kekuningan. Dia kenal mereka! Pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Wills St. Mereka rajin menyapanya. Dulu, dia juga begitu. Pelajar universiti, kuliah perubatan. Tetapi, kehidupan yang rencam di sinilah yang mengajarnya menjadi liar, tegar dengan prinsip yang karut. Jahat? Tidak. Dia tidak jahat. Dia tidak pernah menyentuh arak. Dia tidak pernah berzina. Cuma...cuma dulunya dia terlalu percaya pada teori: yang kaya berkuasa, yang lemah ditindas. Persis Teori Darwin, bukan? Dalam The Origin of Species, Darwin mendakwa adalah perlu untuk bangsa-bangsa yang lebih rendah dihapuskan dan tidak perlu bagi manusia yang maju untuk melindungi mereka dan membiarkan mereka hidup. Anak bumi kelahiran Britain yang terkenal dengan sifat rasialisnya itu melihat penduduk asli Australia dan Negro sebagai makhluk-makhluk yang sama taraf dengan gorila. Perlu dipupuskan dan dilenyapkan terus.

   Tidak! Jangan salah faham. Dia bukanlah Darwinis yang membuta tuli mempercayai teori-teori gharib begitu. Dia orang Islam. Masih percaya yang dunia ini ada tuan yang berhak, dan Allahlah tuan yang haq!

   " Mr. Cobbler.." Kenangan lama terpadam. Seorang lelaki tunduk sambil menanggalkan kasutnya yang sedikit koyak.

 

 

p/s: cerpen pertamaku dulu yg mengajar bnyk erti kesabaran...mencari suasana yg berlatarkan Melbourne, ilmu2 teori Darwin, juga gabungan ilmu Islam dan sejarah dunia....

 

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments